Translate

9 Mei 2017

Proses IVF

Ini merupakan kali ke-2 saya menjalani IVF.

08/05/2017
  • Mula makan Microgynon, makan selama 21 hari bermula dari hari ke-7. (Hari pertama haid keluar dikira sebagai hari pertama)
  • Tujuan makan adalah supaya haid keluar tepat pada waktunya dan mengikut plan doktor.

Microgynon

Microgynon
Microgynon

01/06/2017
Hari ke-1
01/06/2017 merupakan hari pertama saya period. (Hari pertama haid keluar dikira sebagai hari pertama... dan seterusnya)

Berikut merupakan kesan-kesan selepas makan Microgynon:
  • Darah haid yang keluar sedikit saja, tidak penuh pad.
  • Rasa sakit perut yang minima. Sakit perut semasa period berkurang, tidak rasa sakit. 
  • Tiada ketulan darah, semuanya darah merah, darah fresh.

Hari ke-3 (RM2080.00)
Mula suntikan pertama Gonal dengan dos 300IU (Dos untuk setiap orang adalah berlainan). Suntikan selama 5 hari berturut-turut pada setiap pagi. Suntikan dilakukan sendiri di rumah. Pembantu doktor akan mengajar cara menyuntik sendiri. Suntik di perut kira-kira 2 cm di bawah pusat.
  • 2 box Gonal diberi secara percuma oleh pihak hospital, 4 box lagi kena beli sendiri di luar. 
  • Kos untuk hari ini semuanya RM2080.00
  • Tujuan suntikan Gonal adalah untuk merangsang pertumbuhan folikel, agar folikel lebih banyak dan cepat membesar.
Gonal

Kesan sampingan suntikan Gonal yang saya rasa :
  • Sakit kepala, berat kepala, kepala berdenyut-denyut
  • Rasa mengantuk setiap masa
  • Asal baring terus tertidur
Gonal

Gonal

Gonal

Hari ke-7
Ada sikit perubahan pada badan. Breast menjadi lembut & sedikit sakit ketika disentuh. Rasa sakitnya adalah seperti sebelum kita perempuan akan datang period breast akan rasa sedikit sensitif & sakit kan, begitulah rasanya. Selain itu, putih telur yang keluar pun banyak. Padahal biasanya hari ke-7 adalah hari kering. Tapi dengan suntikan Gonal ini badan mengalami sedikit perubahan.


Hari ke-8 (RM2040.00)
Datang ke hospital untuk scan telur. Mula hari ke-8 ada 2 jenis suntikan iaitu Gonal & Orgalutran. Doktor sarankan teruskan suntikan Gonal kerena telur belum cukup besar. Kos hari ini semuanya RM2040.00

Orgalutran
Jarum Orgalutran


Gonal yang sudah diguna jangan dibuang, bawa ke hospital, staff akan sedut baki yang masih ada dalam pen Gonal dengan menggunakan jarum. Maka bolehlah jimat sikit untuk beli Gonal. Baki Gonal saya yang telah disedut ada 650IU, boleh digunakan untuk 2 kali suntikan lagi. Saya hanya perlu beli 2 box Gonal lagi, dan 1 box Orgalutran. Dalam 1 box Orgalutran ada 5 syringe/jarum. 


Jarum Orgalutran lebih tebal sikit berbanding jarum Gonal, masa suntik tidak rasa sakit, tapi selepas cabut wahh sakitnya. Sakit seperti digigit semut merah. Rasa sakit akan beransur hilang secara perlahan-lahan. Gonal dan Orgalutran kena beli sendiri di luar. Pembantu doktor akan beritahu di mana tempat beli. Tujuan suntikan Orgalutran adalah untuk mengelakkan pramatang ovulasi /prevent premature ovulation

Hari ke-10 
Perut mulai ada rasa sakit-sakit bila disentuh, ini disebabkan suntikan jarum yang dibuat setiap hari. Mula dari hari ke-8 dua jenis suntikan perlu dibuat setiap hari. Normal jika ada rasa sakit disebabkan suntikan ini. Suntikan Orgalutran sakit sedikit. Buat masa ini elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan kegatalan atau pedas. 

Hari ke-12 (RM352.00)
Datang ke hospital untuk scan perkembangan folikel. Jika folikel sudah cukup besar maka doktor akan teruskan proses seterusnya, iaitu menjalani Ovum Pick Up (OPU) pada hari ke-14. OPU ialah proses pemungutan folikel yang dilakukan oleh doktor pakar di bilik bedah. 

Pada pukul 9 malam melakukan suntikan ovidrel sendiri di rumah. Jam berapa perlu disuntik bergantung kepada doktor, sila dengar kata doktor. Jarum dan caranya adalah sama seperti suntikan Orgalution, bezanya ialah ovidrel hanya perlu disuntik sekali sahaja. Tujuan suntikan ovidrel adalah untuk mematangkan folikel. 
  • Beli Crinone 17 stick yang berharga RM352.00
  • Ambil ubat  Duphaston, Proluton dan Ovidrel di farmasi hospital. FREE
Crinone
Ovidrel

Duphaston

Prolutom


Hari ke-14 (RM1905.00)

Adalah hari untuk Ovum Pick Up (OPU). Kena bayar RM3 untuk masuk wad harian, RM2 untuk ujian makmal, dan RM1900 untuk OPU. Jumlah perlu bayar ialah RM1905.00

Kena baca nota yang diberi oleh pihak hospital, berikut merupakan ringkasan nota penting yang perlu anda ketahui sebelum datang OPU:

Pemungutan Sperm/ air mani Suami
  • Untuk hasil air mani yang terbaik elakkan dari melakukan seksual (mengeluarkan air mani) sekurang kurangnya 3 hari sebelum pemungutan air mani. 
  • Suami perlu mengeluarkan air mani pada hari OPU dilakukan.
Malam Sebelum OPU
  • Mula puasa pada jam 12 malam, tidak boleh makan dan minum sehingga selepas OPU. 
  • Jangan pakai sebarang barang kemas seperti rantai, gelang dan sebagainya.
  • Dilarang memakai cat kuku, kena bersihkan. 
  • Tidur rehat secukupnya.
Pada Hari OPU
  • Datang ke hospital pada jam 7 pagi
  • Jangan memakai sebarang minyak wangi dan make up
  • Suami perlu datang bersama, untuk diambil sample sperm.
  • Pesakit tidak dibenarkan memandu selepas OPU.
  • Pada keesokan hari selepas OPU pihak hospital akan memberitahu sama ada persenyawaan (embrio) atau tidak dan pemindahan embrio akan dilakukan pada hari ke dua atau ketiga selepas OPU.
Pada Hari Pemindahan Embrio / Embryo Transfer
  • Tidak perlu berpuasa, boleh makan dan minum.
  • Perlu membawa 1 liter air minum kerena sebelum pemindahan embrio dilakukan pundi kencing kena penuh untuk memudahkan pemindahan embrio dilakukan.
  • Jangan memakai sebarang pewangi kerana boleh menggangu kualiti embrio. 
  • Selepas pemindahan embrio segala aktiviti rutin boleh dilakukan seperti biasa.

Hari ke-15
Mula makan Duphaston 1 biji 2 kali makan sehari iaitu 1 biji pagi, 1 biji malam, dan guna Crinone 1 strip sehari. Duphaston adalah untuk menguatkan rahim. Crinone pula mengandungi progesteron semulajadi yang diguna untuk menyokong perkembangan embrio. Crinone perlu dimasukan ke dalam rahim perempuan.


Hari ke-16 (RM500)
Hari ke 16 adalah hari pemindahan embrio, embrio yang sihat dan memenuhi syarat akan dimasukan ke dalam rahim perempuan. Staff makmal akan menjelaskan proses dan qualiti embrio terlebih dahulu. Jika ada sebarang pertanyaan boleh terus tanya staff makmal. Kos pemindahan embrio ialah RM500

Dalam kes saya, 7 telur yang berjaya dikutip masa OPU, 1 telur tidak mempunyai polar body, manakala 1 lagi mempunya banyak polar body, maka yang reject adalah 2. Baki yang tinggal ada 5, tetapi yang berjaya disenyawakan ada 4. Yang 1 tu entah kenapa tidak berjaya disenyawakan, mungkin terkejut dan takut kali telur tu hahahhaa. Ada 4 yang berjaya disenyawakan, tetapi pada hari ke-2 ia disenyawakan ada 2 yang tidak berkembang, dia kekal seperti hari pertama. Hanya 2 saja yang berkembang. 2 telur yang terakhir ini berjaya menjadi embrio yang sihat, iaitu grade A. Embrio pun ada grade tau, ada A B C D grade nya. Grade A adalah grade paling bagus, manakala grade D adalah grade paling teruk. Jika grade embrio terlalu teruk C & D akan di reject. Banyak-banyaklah berdoa agar terhasilnya embrio yang sihat dan berkualiti, yang paling penting jangan stresskan diri.

50% perkembangan embrio pergantung dari ovum perempuan dan 50% lagi dari sperm lelaki. Janganlah salahkan satu pihak saja jika embrio tidak berkembang mengikut spesifikasi yang ditetapkan. 50-50 okay. Jika ovum cukup sihat tetapi sperm lelaki bermasalah pun masalah juga, dan sebaliknya. Tetapi janganlah terus sedih jika pihak perempuan @ lelaki mempunyai masalah. Semua ini boleh diatasi perlahan-lahan. Saya akan ceritakan secara terperinci berkaitan masalah dari pihak perempuan & lelaki pada masa akan datang. Sekarang ini saya mahu tunggu hari ke-19.

Selepas pemindahan embrio dilakukan, doktor akan memberi suntikan proluton  untuk pertama kalinya di bahagian pungung. Crinone juga dimasukan ke dalam rahim selepas pemindahan embrio. Anda akan diarahkan untuk terus berbaring terlebih dahulu selama 15-30 minit, kemudian barulah boleh bangun dan pulang ke rumah.

Hari ke-19
Suntikan proluton kali ke-2 di bahagian punggung, suntikan perlu dilakukan pada masa pagi. Agak sukar untuk menyuntik sendiri di bahagian punggung, maka kita kena meminta orang tolong suntikan. Saya pergi ke klinik swasta untuk meminta doktor tolong suntikan, harga 1 kali suntik RM25. Tapi kalau dilakukan di hospital kerajaan hanya perlu bayar RM1 dan anda pasti faham hospital kerajaan pasti banyak orang dan kena tunggu, jika nak cepat pergi ke klinik swasta, jika nak jimat pergi hospital kerajaan. Doktor akan memberi sekeping kertas bila masa perlu disuntik, kertas ini perlu dibawa semasa datang ke klinik/hospital untuk meminta suntik.

Hari ke-21
Hari ni saya dapati ada setitik darah pink pudar & warna brown brown keluar, yang keluar sangat-sangat sikit, semasa lap menggunakan tisu baru perasan ada darah satu titik pink pudar dan yang lain warna brown brown diikuti sedikit lendir-lendir putih telur gitu. Masa tu ada krem perut sikit seperti nak period tapi tidak sesakit seperti masa nak period. Bunyi krok krok dalam perut. Sebelah malam pula bila lap dengan tisu ada warna pink pudar plus brown brown gitu seperti period hari terakhir tapi lagi pudar, sedikit sahaja. Masa lap baru ada kelihatan. Kalau kita biasa buang air kecil tidak lap memang tidak akan perasan benda tu. Malam tu memang perut pun bunyi krok krok saja. Tapi esok harinya tiada sudah darah  pudar-pudar yang keluar, perut pun tak krem krok krok sudah. 

Hari ke-22
Suntikan proluton kali ke-3 perlu dilakukan. Macam biasa saya memilih datang ke klinik swasta kerana cepat dan jimat masa, hanya perlu bayar RM25. 

Hari ke-29
Hari ke-29 adalah hari untuk cek darah. Ini adalah hari yang dikatakan paling bersejarah. Perasaan gembira dan takut pun ada, sebab pada hari inilah kita akan dapat tahu sama ada kita berjaya hamil atau pun tidak. Walaupun embrio sudah dimasukan ke dalam rahim tapi masih tidak menjamin 100% akan hamil, peratus hamil hanya 30% saja kata doktor. Doktor akan bagi 1 keping kertas untuk membuat blood test di makmal ujian darah. Kos untuk cek darah hamil atau tidak ialah RM30. Hanya perlu tunggu 2 jam untuk mengetahui keputusan. 

Keputusan yang saya terima selepas 2 jam agak mengecewakan, ia negative tidak hamil. Perasaan sedih & kecewa hanya Tuhan yang tahu. Dalam hati masih menaruh harapan agar hamil walaupun keputusan sudah menunjukkan negative. Hampa.

Walaupun negative tidak hamil, saya tetap akan buat IVF lagi pada masa terdekat. Jangan mudah putus asa. 

Jika keputusan darah negative semua ubat perlu henti makan, dan jika positive ubat perlu diteruskan. 

Hari ke-31
Datang period. Sangat-sangat bad mood, sedih, kecewa, dan marah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan